Posted by: zaim | Ogos 20, 2011

Fatih Nasrullah Bin Mohd Zaim Azfar

Nabi Muhammad s.a.w memimpin 10 ribu tentera dan ummat Islam telah keluar dari Madinah menuju Kota Makkah pada hari Rabu tanggal 10 Ramadhan Tahun ke 8 Hijrah selepas waktu Asar dengan membawa slogan keamanan dan kesejahteraan bersama Islam .  Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Mekah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Mekah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy. 

Kemenangan yang termaktub dalam lipatan sejarah ini dinamakan Fathul Makkah atau pembukaan Kota Mekah setelah Rasulullah meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa ini membawa makna yang amat besar kepada perkembangan Islam yang menyebabkan manusia berduyun-duyun beriman kepada Allah s.w.t.  Berhala di Kota Makkah dimusnahkan sekaligus menyaksikan Islam muncul sebagai kuasa hebat di dunia.

Allah merakamkan melalui firmanNYA dalam surah an-Nasr

A001

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah)

A002

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai

A003

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat

Kemenangan adalah kurniaan Allah.  Maka ucaplah tasbih syukur kepadaNYA.  Kemenangan juga mengajar kita supaya memohon ampun serta bertaubat kepadaNYA agar kita sentiasa dekat dengan pertolonganNYA

Alhamdulillah, saya dikurniakan cahaya mata kedua pada bulan yang mulia Ramadhan al-Mubarak ini.  Nasrin Insyirah, cahaya mata pertama tidak sempat melihat dunia kerana telah meninggal dunia ketika dalam kandungan hampir 2 tahun lepas.  Kelahiran pada 14 Ramadhan 1432H (14 Ogos 2011) ini telah membuka satu kegembiraan dan lembaran baru kepada seluruh keluarga.  Ia hadir dengan izin dan pertolongan Allah s.w.t.

Bersempena dengan peristiwa bersejarah Rasulullah s.a.w membuka Kota Mekah pada bulan Ramadhan dan juga mengagumi kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstatinopel, saya namakan anak ini dengan nama Fatih.  Merenungi firman Allah dalam surah an-Nasr, bahawa kemenangan adalah melalui pertolongan Allah.  Maka saya berikan nama kedua anak saya ini dengan nama Nasrullah.

Fatih Nasrullah Bin Mohd Zaim Azfar akan diasuh dengan penuh tanggungjawab sebagai amanah yang terima daripada Allah.

Usia 7 hari

Usia 7 hari

Sebelum majlis cukur kepala

Sebelum majlis cukur kepala

Senyuman manis dalam pangkuan abi...

Atuk sedang cukur kepala Nasrullah


Posted by: zaim | Januari 10, 2011

Buku Rujukan Pendidikan Islam PMR dan SPM

Pendidikan Islam PMR

maaf...gambar kurang memuaskan

maaf...gambar kurang memuaskan

Buku rujukan yang lengkap untuk pelajar tingkatan 1-5 atau lebih tepat lagi untuk menghadapi PMR atau SPM.  Turut dimuatkan ayat-ayat hafazan.  Buku ini merupakan cetakan terbaru 2011 dan telah banyak kali diulang cetak bagi versi tahun-tahun sebelumnya.

Jaguh PMR / Jaguh SPM

Revisi Lengkap Pendidikan Islam

Terbitan Naluri Creative

ISBN : 978-983-44288-8-4

RM 18.00 sebuah

*Jika mahu beli melalui saya boleh juga .RM5 tambah untuk caj penghantaran =)

*Untuk mereka yang mahu dengan jumlah yang banyak, sila hubungi saya 013-9323370 (zaim). Ada potongan harga.

No Akaun Maybank saya – 151306662347

Pengharapan yang penuh kepada Allah s.w.t adalah kewajipan kepada setiap yang bergelar Muslim.  Menyelesaikan permasalahan, malaksanakan perancangan serta segala tindakan kita dalam kehidupan.    Senantiasalah berharap kepadaNYA kerana ia adalah kunci kejayaan bagi mereka yang beriman.

Pengharapan yang tinggi kepada Allah perlu disertakan dengan usaha yang terbaik.  Inilah sifat mukmin yang sejati yang disukai oleh Allah.  Maka Allah s.w.t tidak akan menzalimi hambaNYA yang beriman dan berusaha.  Kejayaan pasti akan dihadirkan sama ada segera atau dilewatkan.

Tatkala Nabi Musa dikejar oleh tentera musuh hingga ke lautan, tiada lagi jalan keluar.  Para pengikut baginda berkata:

“Kita pasti ditawan”

Namun Nabi Musa tetap mengingatkan pengikutnya bahawa Allah pasti menolong hambaNYA yang taat dan patuh kepada agama.

Lalu diwahyukan kepada Nabi Musa supaya memukul laut dengan tongkatnya.  Kepatuhan Nabi Allah Musa a.s mengikut perintah Allah itu telah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan pengikutnya apabila Allah membuka jalan keluar setelah Nabi Musa memukul tongkatnya ke laut dengan menyaksikan laut terbelah lantas memberi laluan keluar dan ditenggelamkan tentera firaun sebaik mereka melintasi laluan tersebut.

Peristiwa daripada Al Quran ini memberikan kita gambaran bahawa Allah akan memberi pertolongan dan kejayaan kepada hambaNYA.  Namun pertolongan dan kejayaan itu memerlukan beberapa perkara untuk dipenuhi.

Patuh dan taat akan perintah Allah adalah perkara asas kepada setiap kejayaan bagi umat manusia.  Tanpa kepatuhan dan ketaatan kepada Allah, kejayaan (yang diistilahkan oleh manusia) itu adalah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah dengan murkaNYA.  Dalam masyarakat sekarang, ramai yang dilamun dengan kejayaan yang pada hakikatnya mereka dimurkai oleh Allah.

Tidak ada kejayaan tanpa usaha yang dilakukan.  Walaupun Allah Maha Berkuasa mengurniakan kejayaan kepada seseorang yang tidak berusaha, namun Allah amat kasih kepada hambaNYA yang tekun berusaha.  Sedangkan Nabi Musa a.s memukul tongkatnya dan junjungan besar kita Muhammad s.a.w terpaksa bersusah payah berhijrah ke Madinah, inikan pula kita sebagai insan biasa.  Berusaha adalah tugas kita sebagai manusia untuk mengecapi kejayaan.

Dan akhirnya adalah diluar bidang kita iaitu menentukan hasil usaha kita.  Bagi yang beriman dan yang telah lengkap tuntutannya iaitu patuh dan taat perintah Allah dan kemudiannya berusaha bersungguh-sungguh, maka kejayaan adalah hasilnya.  Mungkin pada pandangan manusia dia gagal atau tewas, tapi disisi Allah s.w.t dia adalah golongan yang berjaya.

Posted by: zaim | November 30, 2010

Jibril Dan Mikail Menangis

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahwa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, “Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah.

“Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, “Aku membuat apa yang aku kehendaki.” Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong.Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap emapt, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Apakah yang membuat kamu menangis?” Lalu mereka menjawab,

“Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu.”Firman Allah bagi bermaksud, “Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku.”Setelah diusir, maka iblis pun berkata, “Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu.

“Lalu Allah berfirman yang bermaksud, “Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum.

“Berkata lagi iblis, “Tambahkanlah lagi untukku.” Allah berfirman yang maksudnya, “Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya.

“Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Lalu Allah berfirman dengan maksud, “Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah.

“Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, “Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki.

Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram.”"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka.”

(Hal ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud :

“Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan.”

 

nur-addin.blogspot.com

Posted by: zaim | September 28, 2010

Meninggalkan Sesuatu Untuk Dunia

Assalamualaikum.

Dalam kita masih lagi melalui hari-hari pada bulan syawal ini, adakah kita masih merasai kenikmatan beribadah pada bulan Ramadhan sebelumnya?  Atau begitu cepatnya hilang pelajaran dan pengajaran yang dilalui sepanjang bulan tersebut?

Pernahkah kita bertanya, apakah yang akan aku tinggalkan untuk dunia ini setelah aku dipanggil mengadap Allah?  Persinggahan kita di dunia yang sementara ini  dahagakan suatu peninggalan sebagai warisan generasi dunia.  Insan yang disukai Allah itu antaranya ialah yang akan meninggalkan suatu bakti di setiap persinggahannya.

Adilkah kesementaraan kita bertahun-tahun di dunia ini dengan hanya singgah semata-mata tanpa suatu tanda yang mengakui kita pernah singgah disini?

Maka bercambah pemikiran akal manusia untuk masing-masing memikirkan cara terbaik meninggalkan suatu ketandaan diri bahawa mereka pernah berada di dunia ini.  Ada yang menciptakan suatu alat yang berguna kepada tamadun manusia dan mengukirkan namanya sebagai saintis hebat.  Ada yang berlakon berpuluh-puluh filem sebagai tanda bahawa dia pernah hidup di dunia ini.  Dan ramai yang datang dan pergi tanpa disedari.

Dalam setiap gerak geri sebelum meninggalkan dunia ini, panduan Al Quran dan Sunnah itu jelas adalah sandaran utama kita.  Segala peninggalan kita di dunia sama ada ilmu, harta benda, anak-anak, akhlak dan sebagainya adalah saham di akhirat kelak.  Saham yang ada untung dan ruginya.

Bayangkan apabila kita memakai seluar pendek keluar bersiar-siar.  Tanpa kita sedari, ada beberapa orang yang perhatikan kita, dan mengikut cara hidup kita itu…memakai seluar pendek.  Tanpa sepatah perkataan pun, hanya suatu perlakuan daripada kita.  Ikutan daripada perlakuan kita itu terus menerus akan menjadi saham yang amat merugikan di akhirat kelak tatkala kita meninggalkan dunia ini.

Bayangkan pula apabila kita memberi salam apabila bertemu dengan seorang kenalan.  Tutur bicara kita itu disaksikan oleh anak-anak kecil yang berdekatan dan menjadi ikutan mereka tatkala mereka bertemu rakan-rakan.  Maka saham yang untung itu akan terus kita raih di akhirat nanti walaupun setelah kita pulang mengadapNya.

Itulah sekecil-kecil perkara yang dijadikan contoh.  Sama-samalah kita fikirkan sesuatu yang amat besar yang sering dan telah kita lakukan.  Oleh sebab itu,  kita disaran supaya senantiasa beristifar bermuhasabah setiap waktu kerana setiap hari juga kita senantiasa berikrar kepada Allah bahawa hidup dan mati kita adalah kerana Allah.

Letihnya hidup kita di dunia ini adalah semata-mata mahukan kerehatan yang aman di akhirat nanti.  Amat malang jika kepenatan yang dialami di dunia akan dibalas dengan seksaan yang pedih di akhirat.  Sama ada sakit atau aman di akhirat nanti, pasti melalui keletihan dalam menjalani kehidupan di dunia ini.  Maka yang bijaksana sudah tentu akan memilih jalan yang letih untuk keamanan tatkala bertemu Yang Maha Esa kelak.

Posted by: zaim | Ogos 11, 2010

Puasa Untuk Sambut Raya

Zaman kanak-kanak dahulu kita sering diajar supaya berpuasa.  Jika tak puasa tidak boleh raya!  Begitu juga diberi upah puasa.  Sehari puasa boleh dapat duit raya satu ringgit…setengah hari puasa pun ada upah, dapat 50 sen!.  Melatih anak kecil berpuasa dengan ganjaran raya dan duit sedikit sebanyak membantu mereka berpuasa walaupun pada hakikatnya tuntutan berpuasa itu adalah kewajipan sebagaimana solat 5 waktu.

Pada bulan yang mulia ini, perbanyakkan taubat dan gandakan amalan ibadat setelah melalui 11 bulan yang sering menyebabkan kita leka.  Kehadiran Ramadhan ini adalah latihan ibadah yang diturunkan oleh Allah dan diringankan halangan kepada kita apabila syaitan pula dibelenggu, dan yang tinggal hanya nafsu diri kita sendiri.  Pada bulan inilah nafsu perlu dididik dengan ilmiah dan kesederhanaan .

Jarang sekali kita berjumpa dengan orang yang membuat persiapan Ramadhan, yang terbanyak ialah persiapan menjelang Syawal.  Padahal limpahan rahmat yang amat luas dihidangkan Allah pada bulan Ramadhan.

Kenapa kita tidak membuat persiapan Ramadhan?

Kerana kita tidak tahu apa yang perlu disiapkan.

Pada anggapan kita, Ramadhan tidak jauh bezanya dengan bulan-bulan lain cuma waktu makannya pada sahur sebelum subuh dan berbuka ketika maghrib.  Malamnya pula perlu ke surau/masjid untuk berterawikh, itupun jika ‘ringan badan’.  Berbanding Syawal yang disambut penuh kegembiraan hingga kadang-kadang terlebih hadnya.  Persiapan rutinnya seperti biskut raya, baju baru, kelengkapan rumah, membersih rumah dan sebagainya.

Ramadhan yang dijanjikan Allah dengan berlipat kali ganda pahalanya juga perlukan persiapan yang hebat.  Memperbaharui taubat adalah yang paling penting ketika menyambut Ramadhan.  Kesucian Ramadhan mudah menusuk jiwa apabila hati tenang dan bersungguh melaksanakan perintahNya.  Kumpulkan seberapa banyaknya pahala melalui amal ibadat yang hanya memberi peluang kepada kita pada waktu Ramadhan.

Berterawikh hanya ada pada bulan Ramadhan.  Kuatkan diri bermujahadah untuk berterawikh setiap malam.  Jangan jadi tua sebelum waktunya iaitu lemahnya tubuh.  Warga emas lebih hebat dari orang muda beribadat, memenuhi saf-saf hadapan dan qiamnya lebih lama daripada orang muda.

Bersahur dan berbuka juga melahirkan sifat-sifat terpuji.  Mengeratkan ikatan kekeluargaan, teman-teman serumah.  Inilah peluang untuk sama-sama mengaminkan doa, sama-sama menjamu selera dan nikmatnya merasai juadah makanan.

Membaca Al-Quran, menghadiri kuliah ilmu dan membantu golongan miskin adalah amalan-amalan yang dipandang tinggi oleh Allah.  Dan Ramadhan memberikan kita ruang tersebut.

Selamat Menyambut Ramadhan!

Posted by: zaim | Ogos 8, 2010

Kasih Sayang Dunia Haiwan

Saat terjatuh ditengah jalan, tiada tangan yang mahu menghulurkan bantuan

Datang Si Ibu menjadi penyelamat

Namun tidak semudah itu, ada sahaja yang cuba menghalang dan mengambil kesempatan dalam kesusahan yang dialami

Si Ibu sanggup lakukan apa sahaja untuk selamatkan anaknya

Akhirnya dia berjaya membuktikan kasihnya

Dunia haiwan yang mampu menceritakan sifat kasih sayang kepada dunia manusia…

dipetik dari blog :

http://syukran.wordpress.com

Posted by: zaim | Julai 17, 2010

Kisah Anak Kecil Di Zaman Khalifah Harun Ar Rashid

Khalifah Harun Ar Rashid terkenal dengan ketokohannya memimpin sebuah kerajaan yang amat dikagumi dalam sejarah Islam.  Suatu hari khalifah melihat seorang anak kecil sedang mengis di hadapan unggun api yangmarak menyala.  Lalu khalifah bertanya kepada anak kecil itu kenapa menangis.

Jawab anak kecil itu,  “Aku takutkan api neraka”

Khalifah memujuk anak kecil itu dengan berkata anak kecil seperti kamu ini tak akan dimasukkan ke neraka.

Namun anak kecil itu terus menangis sambil berkata,

“Tadi sewaktu orang mula menyalakan api, mereka masukkan ranting-ranting kecil dahulu…selepas ranting kecil terbakar baru dimasukkan kayu besar”  “Aku takut hal yang sama di neraka kelak…aku ibarat ranting kecil itu”.

Mendengar kata-kata anak kecil itu, khalifah turut sama menangis.

Posted by: zaim | Jun 20, 2010

Jom Beli Secara Online

Secara rasminya saya telah membuka satu web untuk memudahkan pembelian produk herba HPA secara online.  Harap dapat ziarah dan membuat belian melalui web tersebut.  www.ubatherba.wordpress.com

Posted by: zaim | Mei 5, 2010

Saya Beli Barang Ini…

Setiap satu sen yang dibelanjakan akan ditanya Allah di akhirat kelak.  Maka urusan jual beli sering memberi pelbagai tanggapan oleh masyarakat.  Riba, tipu, sombong dan pelbagai sifat negatif banyak menghiasi dunia perniagaan yang akhirnya boleh saya simpulkan sebagai salah satu usaha memperlekehkan kerjaya yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w.

Perniagaan adalah suatu penyelesaian kepada masyarakat bagi sesuatu masalah.  Menyelesaiakn masalah orang cukup tinggi nilainya contoh yang mudah ialah tayar motor yang pancit diselesaikan di bengkel motor.  Dan bayaran pelanggan sebagai upah itu boleh dikatakan sebagai ucapan terima kasih.  Jual beli merupakan aktiviti mengeratkan silaturrahim, perihal terima kasih, setuju menyetujui dan berakhir dengan keredhaan dan ketenangan.

Maka setiap duit yang dibelanjakan ialah

Ucapan terima kasih

Doa

Harapan

dan sokongan.

Setiap kali saya ingin berbelanja, keempat-empat perkara ini adalah panduan.  Jarang-jarang sekali duit saya ‘terlepas’ tanpa memenuhi elemen tersebut walaupun satu.

Sewaktu tingkatan 5, satu program sekolah diadakan di Cherating dan pada malamnya saya dan beberapa rakan keluar untuk makan di restoran yang banyak sekali tersusun sepanjang jalan di Cherating.  Apabila menjamah makanan yang dihidang, kawan saya mengkritik makanan kedai itu…tak sedap, pedas dan sebagainya.  Rupa-rupanya ia didengar oleh tukang masak dan dia marah-marah dari jauh sambil menyuruh kami pergi kedai lain.  Kami hanya diamkan diri dan terus bayar sebelum pulang ke tempat penginapan.

Ia mungkin sekadar picisan kisah-kisah berbelanja yang berakhir tanpa sebarang hak jual beli.  Makanan itu dibayar dengan hati yang langsung tanpa terima kasih, doa, harapan dan sokongan.  Ia juga diterima oleh hati yang sakit.  Peristiwa itu diingati sampai sekarang kerana ia adalah teladan bagi saya setiap kali berbelanja dan setiap kali berurusan dengan pelanggan.

Apa guna urusan jual beli jika ia berakhir dengan permusuhan, tiada ketenteraman dan tanpa terima kasih.  Kerana ia akan kembali kepada persoalan asal jual beli sebagai penyelesai masalah…bukan menambah derita.

Dan sekali lagi…jauhkan jual beli yang menambah masalah serta derita umat Islam.

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.