Fatih Nasrullah Bin Mohd Zaim Azfar

Nabi Muhammad s.a.w memimpin 10 ribu tentera dan ummat Islam telah keluar dari Madinah menuju Kota Makkah pada hari Rabu tanggal 10 Ramadhan Tahun ke 8 Hijrah selepas waktu Asar dengan membawa slogan keamanan dan kesejahteraan bersama Islam .  Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Mekah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Mekah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy. 

Kemenangan yang termaktub dalam lipatan sejarah ini dinamakan Fathul Makkah atau pembukaan Kota Mekah setelah Rasulullah meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa ini membawa makna yang amat besar kepada perkembangan Islam yang menyebabkan manusia berduyun-duyun beriman kepada Allah s.w.t.  Berhala di Kota Makkah dimusnahkan sekaligus menyaksikan Islam muncul sebagai kuasa hebat di dunia.

Allah merakamkan melalui firmanNYA dalam surah an-Nasr

A001

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah)

A002

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai

A003

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat

Kemenangan adalah kurniaan Allah.  Maka ucaplah tasbih syukur kepadaNYA.  Kemenangan juga mengajar kita supaya memohon ampun serta bertaubat kepadaNYA agar kita sentiasa dekat dengan pertolonganNYA

Alhamdulillah, saya dikurniakan cahaya mata kedua pada bulan yang mulia Ramadhan al-Mubarak ini.  Nasrin Insyirah, cahaya mata pertama tidak sempat melihat dunia kerana telah meninggal dunia ketika dalam kandungan hampir 2 tahun lepas.  Kelahiran pada 14 Ramadhan 1432H (14 Ogos 2011) ini telah membuka satu kegembiraan dan lembaran baru kepada seluruh keluarga.  Ia hadir dengan izin dan pertolongan Allah s.w.t.

Bersempena dengan peristiwa bersejarah Rasulullah s.a.w membuka Kota Mekah pada bulan Ramadhan dan juga mengagumi kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstatinopel, saya namakan anak ini dengan nama Fatih.  Merenungi firman Allah dalam surah an-Nasr, bahawa kemenangan adalah melalui pertolongan Allah.  Maka saya berikan nama kedua anak saya ini dengan nama Nasrullah.

Fatih Nasrullah Bin Mohd Zaim Azfar akan diasuh dengan penuh tanggungjawab sebagai amanah yang terima daripada Allah.

Usia 7 hari

Usia 7 hari

Sebelum majlis cukur kepala

Sebelum majlis cukur kepala

Senyuman manis dalam pangkuan abi...

Atuk sedang cukur kepala Nasrullah


13 Mac

Alhamdulillah

Usia perkahwinan sudah menjangkau setahun.  Pantasnya masa dan kini tiba giliran beberapa sahabat lain pula untuk melaksanakan ibadah yang mulia ini.  Semoga semuanya berjalan lancar untuk sahabat-sahabatku.

Mengenang detik pertama pertemuan yang telah ditentukan oleh Allah.  Imbasannya masih segar dalam ingatan walaupun sudah lupa tarikhnya.

Terima kasih Ya Allah…

Nasrin Insyirah Binti Mohd Zaim Azfar

Hari ini genap seminggu peristiwa hiba melanda Zaim.  Begitu pantas masa berlalu dan beberapa minggu lagi genap pula setahun mendirikan rumah tangga.  Terima kasih pada ummi, abah, mak, ayah dan semua yang memberi sokongan serta doa.

Teringat bulan Jun tahun lepas, isteri saya menyampaikan berita gembira apabila pemeriksaan mengesahkan beliau sudah berbadan dua.  Perkhabaran ini disebarkan.  Zaim bakal menimang cahaya mata sulong dan ummi bakal mendapat cucu.  Tips-tips yang berguna dikongsikan oleh semua, termasuk saudara mara yang mengetahui.

Peluang cuti digunakan kami untuk membeli keperluan anak yang bakal lahir.  Adik adalah istilah sebagai ganti nama untuk anak yang dikandung.  Zaim membahasakan diri sebagai Abi apabila berbicara dengan adik.  Ummi pula untuk isteriku.

Semakin hampir waktunya untuk bersalin, kami mencari nama-nama indah untuk adik.  Isteriku mahukan nama yang pendek kerana katanya nama Zaim sudah panjang.  Namun akhirnya nama yang panjang juga kami pilih.

Nasrin Insyirah Binti Mohd Zaim Azfar

Allahuakbar…

Nasrin Insyirah tidak sempat berjumpa Abi dan Ummi.  14 Februari lepas doktor sahkan Nasrin Insyirah meninggal dunia.  Ketika itu masih dalam kandungan ibunya.  Kematian yang tidak dapat disahkan puncanya lagi.  Saat itu amat pilu, Zaim tenangkan isteri.

Kami terima takdir ini dengan redha.  Setiap yang ditentukan Allah itu tidak ada yang sia-sia.  Menginsafi diri itu lebih utama.

Mungkin Zaim belum layak dipanggil Abi

Malam sebelumnya, Zaim sempat bertanyakan ustaz maksud nama Nasrin.  Ustaz jawab maksudnya ‘pertolongan’.  Digabungkan dengan Insyirah yang membawa maksud ‘yang menggembirakan’.

Alhamdulillah…Zaim dikurniakan keluarga, saudara mara serta sahabat-sahabiah yang tidak putus-putus memberi sokongan dan semangat.  Pada 16 Februari, Nasrin Insyirah selamat disemadikan di tanah perkuburan Surau Bukit Depu.

Walaupun hanya seketika kami dihadirkan bersama Nasrin Insyirah, ia cukup memberi pelbagai keindahan dalam hidup.  Mengajar rasa kasih sayang serta tanggungjawab.

Dan pertolongan yang menggembirakan adalah harapan kami…

Trip Ke HPA City Di Sungai Petani

Alhamdulillah…

Pada 21.12.2009 lepas (semalam) saya berpeluang ke Sungai Petani selepas menemani PJS Ustaz Kamal Ali sebagai pembentang kertas kerja dalam PBC (Perkongsian Bijak Cemerlang) di Seberang Prai.  Trip sehari bersama tiga lagi sahabat iaitu Amin, Fauzi dan Naqiudin.  Bertolak malam dan pulang juga malam keesokkannya. InsyaAllah ada kelapangan lagi, saya datang bersama keluarga pula.

Peringatan Dari Pertemuan Yang Singkat

Suatu malam sebelum bulan puasa Salman datang ke kedai saya, bersama seorang temannya.  Mohd Faizul.  Katanya mahu daftar jadi ahli HPA.  Saya meminta kad pengenalan daripada Mohd Faizul untuk difotostat sambil menghulurkan borang keahlian untuk diisinya.

“Im, daftarkan Mohd Faizul untuk program PBC bulan depan…dia nak pergi”  kata Salman.  Dalam hati Zaim, betul ke budak ni nak pergi…memandangkan stylenya macam ‘rock’ sikit.

Alhamdulillah…tepat pada tarikhnya 4 September 2009 bersamaan 14 Ramadhan saya membawa Mohd Faizul ke tempat program di Hotel Permai Inn.  Selesai proses pendaftaran, saya meninggalkan tempat program kerana masalah kesihatan.  PBC kali itu juga saya tidak dapat jadi urusetia kerana tidak sihat.

Sepanjang program PBC itu, para peserta bukan hanya didedahkan dengan maklumat berkaitan HPA, bahkan turut disulami dengan amalan-amalan bagi membina jati diri muslim yang sebenar.  Alhamdulillah…kami berjaya membawa Mohd Faizul ke majlis yang sering memperingatkan kita kepada Yang Maha Esa.  Qiamullail diterapkan pada malam harinya diikuti dengan amalan bacaan Mathurat esoknya.  Sebelumnya para peserta bersama-sama mengalunkan surah Al Mulk.

Sepanjang program juga penekanan terhadap menjaga ibadat dan pemakanan yang halal amat ditekankan.  Memperingati nasib saudara kita di Palestine mungkin asing bagi sesetengah masyarakat…maka disini mereka didedahkan dan tidak hairan apabila kedengaran esak tangis peserta mengenangkan saudara muslim kita di Palestine.

Beberapa hari selepas program, Mohd Faizul menemuiku di kedai.  Pertemuan pada malam itu menyaksikan Mohd Faizul sedia bersama kami dalam HPA untuk memartabatkan produk halal.

Alhamdulillah…Salman bersyukur kerana usahanya membawa Mohd Faizul bersama kami berhasil.

Terima kasih Ya Allah…

Kerana memberi kesempatan kepada aku memberitahu kepada Mohd Faizul yang mana halal dan yang mana haram.  Mengizinkan aku memberitahu di luar sana ramai saudara kita dizalimi.

Alhamdulillah…

Mohd Faizul berjaya keluar dari keserabutan hidup rakan-rakan sebayanya dan mengungkapkan alunan zikir membesarkan Ilahi.  Bersama-sama berqiamullail dan membina persaudaraan muslim sejati.

Walaupun ia hanya 2 hari 1 malam…

Doaku pada Allah semoga Mohd Faizul menerima hidayahNya…dan bersama-sama mereka yang beramal soleh.

Mohd Faizul telah kembali ke rahmatullah pada petang Rabu 4 November lalu… Al Fatihah

Pertemuan singkat ini memberi pengajaran dan pengalaman yang bermakna.  Di luar sana masih ramai yang hanyut dalam lautan dunia.

Dan pertemuan ini memberi peringatan kepadaku bahawa tugas yang besar berada di bahuku dan di bahu mereka yang mengetahui kebenaran.

Indahnya zaimof7

Mungkin ramai yang tertanya-tanya sejak pertama kali memasuki (tersengaja klik) blog Zaim kenapa domainnya zaimof7?

Sempena bulan 7 (Julai) ni, Zaim nak kongsi berkaitan keajaiban dan keindahan angka 7 dalam kehidupan kita dan Zaim sendiri.

7 lapis bumi

7 petala langit

7 nama syurga dan neraka

7 hari seminggu

7 cara Al-Quran diturunkan

7 pusingan tawaf

7 kali lontaran di jamrah

7 perjalanan untuk saei

Hmm…banyak lagi.  Tapi dalam kehidupan Zaim, angka 7 amat bermakna.

Dilahirkan dalam bulan 7

7 orang adik beradik

Cucu ke 7 tok sebelah ummi (selepas Kak Ju, Pajeri, Kak Su, Kak Ana, Yo dan Padil)

Cucu ke 7 tok sebelah abah (selepas Abg Ri, Abg Zam, Kak Ros, Yang, Kak Ana dan Yo)

Dan sempena bulan 7 ini, Zaim telah selangkah lagi ke hadapan dalam perniagaan dengan membuka pusat rawatan bekam selain menawarkan khidmat nasihat kesihatan berasaskan herba HPA.  InsyaAllah…doakan kejayaan Zaim.

Kisah Sebulan Lepas

Assalamualaikum.

Sudah sebulan Zaim tidak update blog.  Hmmm…banyaknya perkara yang berlaku dalam sebulan ni.

  1. Zaim telah membuka stokis HPA beralamat di Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
  2. Masih meneruskan usaha menyiapkan buku pertama…kadang-kadang tak punyai idea yang bernas dalam penulisan.
  3. Sepanjang cuti sekolah Zaim banyak meluangkan masa bersama keluarga dan isteri tercinta…minggu pertama meraikan sepupu kahwin di Serdang.  Minggu kedua pulak di Kota Bharu…sempat ke Rantau Panjang dan meraikan sahabat yang kahwin di Ketereh dan Dungun.
  4. 5 hari terakhir cuti sekolah, Zaim balik kampung di Sabak Bernam.  Sempat menziarah ‘kawan-kawan’ di Zoo Negara dan menikmati Mee Udang yang sungguh sedap di Pantai BNO.
  5. Yes…itu saja tapi cuti sekolah kali ni memang seronok.

Cikgu…Terima Kasih

Ramai juga dari kalangan keluarga termasuk saudara mara saya yang bekerjaya sebagai guru. Abah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik serta my lovely wife.

Selamat Hari Guru semua…

Baru saya tahu rupanya 16 Mei hanyalah Malaysia sahaja yang menyambut Hari Guru. tarikhnya berbeza-beza mengikut negara masing-masing. Contohnya Australia menyambutnya pada hari Jumaat terakhir bulan Oktober, Indonesia pada 25 November dan Singapore pada 1 September.

Waktu darjah 3 semasa sambutan Hari Guru, satu peristiwa masih ingat dalam ingatan saya. Semua pelajar mesti datang waktu pagi termasuk yang sesi petang seperti saya. Hmm…dah namanya sekolah rendah, memang bisinglah waktu tu. Cikgu-cikgu dah lengoh bagi amaran tapi masih bising juga. Sampailah cikgu yang paling garang datang (cikgu Amarjit), lepas dia sound, baru keadaan senyap. Kalau ada yang cakap, cikgu akan tarik dan jemur di tengah-tengah panas.

Sekolah saya tiada dewan, jadi sambutan dibuat di kantin.  Sesiapa yang kene jemur tu mesti semua orang nampak…

Dalam keadaan senyap dan penuh penumpuan tu, baru lah sambutan berjalan baik. Tiba-tiba kawan saya di sebelah tanya pada saya.

Zaim…pukul berapa dah?

Hmm…dah pukul 12.30

Tiba-tiba satu suara datang dari belakang…Hah!! awak dua orang mari sini. Awak bercakap ye? sambil menuding jari ke arah kami berdua.

Alamak…cikgu Amarjit

Cikgu Amarjit tarik telinga kami dan kami pun turut dijemur bersama yang lain…Adus!!! apa salah ku? Takkan perbualan kami yang kecil tu kena denda…Tapi yang paling malunya bila ada cikgu-cikgu lalu kat depan saya dia cakap…

Aik!…adik Ana pun nakal juga (Ana tu merujuk Kak Long la…sebab Kak Long pengawas dan memang dikenali di kalangan cikgu sebagai pelajar baik)…huhu, Kak Long juga yang dapat nama. I’m sory!!!

Tapi segala pahit manis sebagai anak didik cikgu menjadikan diri saya mengenal yang mana baik dan buruk. Memahami erti hidup yang sebenar. Pengorbanan yang tidak dapat dibalas hatta dengan wang ringgit dan harta benda. Yang mampu hanyalah sekadar ucapan TERIMA KASIH CikGu….

Terima Kasih Cikgu Maimunah

Terima Kasih Cikgu Sabariah

Terima Kasih Cikgu Azmi

Terima Kasih Ustaz Che Ku Mat

Terima Kasih Cikgu Rozita

Terima Kasih Cikgu Azman

Terima Kasih Cikgu Ismail

Terima Kasih Cikgu SK Gong Tok Nasek

Terima Kasih Cikgu SMK Bandar

Terima Kasih Cikgu SM Sains Dungun

serta ummi, abah dan isteriku yang menjadi cikgu di rumah…

teacher day

Terima Kasih Ummiku

Tahun 1991- Zaim darjah satu di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, kira-kira 1 kilometer dari rumah.  Biasanya pergi sekolah abah yang hantar dan balik sendiri jalan kaki.  Pergi sekolah kene ikut time abah keluar rumah.  Kadang-kadang jam 6.30 dah keluar sebab abah mengajar sekolah yang jauh.

Time balik pulak biasanya jam 12.30 tengah hari.  Balik dengan kawan-kawan yang tinggal sekampung.  Walaupun jaraknya 1 kilometer, tapi sebab jalan dengan kawan-kawan jadi tak rasa penat.

Satu hari, hujan turun dengan lebat waktu pulang sekolah tu.  Tunggu hujan berhenti…tapi tak berhenti juga.  Lepas sorang-sorang kawan-kawan pulang, akhirnya tinggallah saya berdua sahaja (ingat lagi nama kawan tu Khairul Nizam…).

Nak tunggu lagi ke?…

Hmmm…kita redah je la.

Kami pun redah je hujan tu sampai basah kuyup baju sekolah.

Sampai pertengahan jalan, dari jauh Zaim nampak seorang perempuan sambil berpayung datang ke arah kami.  Lama-kelamaan nampak wajah perempuan tu.

Ummi...

Ummi datang jemput Zaim dari rumah dengan berjalan kaki.  Ummi cakap “kenapa tak tunggu ambil kat sekolah?”.  Zaim diam je…sampailah kami di rumah.  Zaim terus mandi sebab Ummi cakap kalau kena hujan mesti mandi, kalau tak nanti demam.

Kalau ditanya apakah peristiwa yang paling berharga dalam hidup saya…peristiwa inilah jawapannya.  Walaupun kisahnya tak dramatik sangat, tapi cukup membuatkan air mata saya mengalir mengenangkan pengorbanan insan yang paling disayangai…Ummi

Selamat Hari Ibu buat Ummi tersayang…