Nabi Muhammad s.a.w memimpin 10 ribu tentera dan ummat Islam telah keluar dari Madinah menuju Kota Makkah pada hari Rabu tanggal 10 Ramadhan Tahun ke 8 Hijrah selepas waktu Asar dengan membawa slogan keamanan dan kesejahteraan bersama Islam . Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Mekah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Mekah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.
Kemenangan yang termaktub dalam lipatan sejarah ini dinamakan Fathul Makkah atau pembukaan Kota Mekah setelah Rasulullah meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini membawa makna yang amat besar kepada perkembangan Islam yang menyebabkan manusia berduyun-duyun beriman kepada Allah s.w.t. Berhala di Kota Makkah dimusnahkan sekaligus menyaksikan Islam muncul sebagai kuasa hebat di dunia.
Allah merakamkan melalui firmanNYA dalam surah an-Nasr
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah)
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat
Kemenangan adalah kurniaan Allah. Maka ucaplah tasbih syukur kepadaNYA. Kemenangan juga mengajar kita supaya memohon ampun serta bertaubat kepadaNYA agar kita sentiasa dekat dengan pertolonganNYA
Alhamdulillah, saya dikurniakan cahaya mata kedua pada bulan yang mulia Ramadhan al-Mubarak ini. Nasrin Insyirah, cahaya mata pertama tidak sempat melihat dunia kerana telah meninggal dunia ketika dalam kandungan hampir 2 tahun lepas. Kelahiran pada 14 Ramadhan 1432H (14 Ogos 2011) ini telah membuka satu kegembiraan dan lembaran baru kepada seluruh keluarga. Ia hadir dengan izin dan pertolongan Allah s.w.t.
Bersempena dengan peristiwa bersejarah Rasulullah s.a.w membuka Kota Mekah pada bulan Ramadhan dan juga mengagumi kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstatinopel, saya namakan anak ini dengan nama Fatih. Merenungi firman Allah dalam surah an-Nasr, bahawa kemenangan adalah melalui pertolongan Allah. Maka saya berikan nama kedua anak saya ini dengan nama Nasrullah.
Fatih Nasrullah Bin Mohd Zaim Azfar akan diasuh dengan penuh tanggungjawab sebagai amanah yang terima daripada Allah.













Komen Terbaru